KUALA LUMPUR, 18 Nov Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Syariah Gombak Timur di sini Rabu terhadap pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah.Mohd Asri, 38, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kediaman beralamat No. 2 Lorong 2 C, Taman Sri Ukay, Ampang Daerah Gombak, antara 8.10 malam sehingga 9.45 malam, 1 Nov lepas.
Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Ketua Pendakwa Syarie Abdul Shukor Abdul Hamid yang memohon kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi atas alasan segala fakta dalam kes melibatkan pemakaian dan tafsiran yang lebih tepat dan berpengalaman mengikut undang-undang, selain mendapat liputan media massa, dan juga tertuduh mempunyai pengaruh besar ke atas masyarakat luar. "Pihak kami telah memfailkan afidavit pada 12 Nov lalu untuk permohonan pindahan mahkamah dan hakim yang akan mendengar kes ini," katanya.
Peguam Kamar Ainiah Kamaruszaman, yang mewakili Mohd Asri, membantah pertuduhan yang dikenakan kerana dalam pertuduhan itu dikatakan mengajar agama Islam tanpa tauliah sedangkan tidak menyatakan butir-butir dengan jelas, tepat dan terang serta tidak menyatakan skop sebenar tauliah itu.
"Saya meminta kepada pihak pendakwa agar mengkhususkan skop pertuduhan itu kerana pelbagai pihak akan membuat tafsiran."Afidavit yang dikemukakan iaitu untuk membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi oleh pihak pendakwa pada 12 Nov lalu sebenarnya telah melangkaui pertuduhan pada pagi ini dan ini tidak menepati format yang sepatutnya dilakukan," katanya.
Beliau berhujah bahawa permohonan pihak pendakwa itu seolah menghina mahkamah dan hakim yang mendengar kes ini kerana seolah-olah menyatakan mahkamah dan hakim tidak layak. "Jika dibenarkan, anak guam kami akan dinafikan hak bagi proses rayuan nanti iaitu Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah, dan pihak pendakwa menyatakan tertuduh mempunyai pengaruh besar yang akan mengganggu proses perbicaraan adalah tidak relevan. "Pihak pembelaan juga berpendapat afidavit itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan terdesak," katanya.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad menolak permohonan pihak pendakwaan secara lisan atas alasan permohonan itu hanya dibenarkan jika pihak pendakwaan mengemukakan alasan yang munasabah dan lebih tepat kerana mahkamah berpandangan kes itu perlu dibicarakan dengan segera. "Jika permohonan ini dibenarkan akan menyebabkan tertangguh beberapa kali dan akan menyebabkan berlaku prejudis kepada tertuduh dan juga subjudis kepada mahkamah ini adalah kerana telah dimaklumkan kepada media massa terlebih dahulu."
Ini akan menyebabkan gangguan dalam proses bicara nanti dan terdapat juga kes yang sama seperti ini telah banyak dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah tanpa masalah," katanya.Beliau juga berpendapat bahawa sepatutnya pihak pendakwaan lebih konsisten, bukannya merujuk kepada seseorang individu dalam memberikan keadilan. "Mahkamah juga berpendapat Mahkamah Rendah Syariah mempunyai kuasa yang telah diperuntukkan undang-undang dan mempunyai kuasa untuk memutuskan sebarang keputusan," katanya.
Wan Mahyuddin membenarkan Mohd Asri dilepaskan dengan bon jaminan RM3,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 5 Jan depan untuk perbicaraan.Jaminan itu dibayar oleh Mohd Md Sadik dan Mohd Ismail Mirasa.Pada 2 Nov lepas, Mohd Asri dihadapkan di mahkamah yang sama tetapi tiada pertuduhan dikenakan terhadapnya dan kemudiannya dibebaskan dengan bon jaminan tanpa cagaran.-- BERNAMA
Wednesday, November 18, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment