Thursday, November 19, 2009

Tiga konsert Siti tahun depan

TAHUN 2009 menyaksikan kehebatan penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza mengadakan dua buah konsert besar yang mencatatkan kejayaan membanggakan.

Pertamanya adalah pada bulan Jun lalu menerusi Konsert Eksklusif Satu yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Terbaru, Konsert Seribu Warna Datuk Siti Nurhaliza yang berlangsung dengan penuh jayanya di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor malam Sabtu lalu apabila dihadiri 10,000 orang penonton.

Dan, belum pun tahun 2009 melabuhkan tirainya, penyanyi popular ini mengesahkan akan terlibat dengan tiga buah konsert besar yang dirancang untuk tahun 2010.

Sesungguhnya perkhabaran tersebut pastinya menggembirakan peminat setia dan fanatik penyanyi ini yang terus diberi peluang untuk menyaksikannya beraksi di pentas konsert.

Tiga konsert yang dimaksudkan Siti adalah Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir dan Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung di Esplanade Theater, Singapura pada 1 Januari depan.

Seterusnya, sebuah konsert bersama penyanyi seberang, Krisdayanti yang akan diadakan di Kuala Lumpur dan Jakarta bersempena kelahiran album duet mereka yang akan dipasarkan penghujung tahun ini.

Dan, kemungkinan besar pada 1 April nanti, Siti akan mengadakan sebuah lagi konsert bagi meraikan pembabitannya selama 15 tahun dalam dunia seni.

Melihatkan perancangan yang sudah disusun oleh Siti menerusi syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. (SNP), membuktikan Siti tidak betah untuk duduk diam.

Alasan Siti cukup mudah. Apabila beraksi dalam sebuah konsert, ia cukup memberikan kepuasan yang maksimum kepada penyanyi itu seandainya dia melihat penonton serta peminat berasa puas dan terhibur.

Mengulas tentang konsertnya bersama M. Nasir pula, Siti sememangnya teruja dengan tawaran oleh Beyond DDB yang mahu menggandingkannya dengan penyanyi dan komposer ternama itu.

Menurutnya, persembahan itu kelak akan diseimbangi dengan persembahan solo masing-masing selain daripada menyampaikan beberapa buah lagu duet.

"Saya masih belum berbincang dengan M. Nasir tentang konsep persembahan kerana kita tahu dia pun ada cara dia sendiri.

"Walaupun konsert tersebut hanya satu malam sahaja, kami akan memastikan ia akan meninggalkan satu kesan abadi kepada penonton kelak," ujarnya yang akan menyampaikan lagu duetnya bersama M. Nasir iaitu Bagaikan Sakti pada malam itu nanti.

No comments:

Post a Comment